PERISTIWA PENTING TANGGAL 10
MUHARRAM
Bulan
Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah
berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang
penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan
kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-nya.
Pada
bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat kepada Nabi-Nabi-nya sebagai
penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu
ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka
hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah)
sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas
kurniaan Allah yang sungguh bernilai.
Said
bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke
Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).
Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka
menjawab, “Hari ini Allah SWT memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun
dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi
saw: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu.”
Maka
Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10
Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah
akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat juga sebuah hadis
meriwayatkan, “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura, maka dapat menebus
dosa satu tahun.” Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura)
merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari
inilah, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.
Bulan
Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa
yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar
kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam satu
hadist. “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan
memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala
sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan
sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan
menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa
pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka.” Sahabat pun
bertanya, “Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura,
dan menjadikan bukit dari lain-lain hari.” Jawab Rasulullah, “benar, Allah
telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan bukit-bukit
pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz
dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura,
dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari
Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan
dari bala pada Nabi Ayub.
Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam
dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari
Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura.” Maka pada hari itu ( 10
Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah
kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah
beratus-ratus tahun lamanya memohom keampunan.
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang
Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka
diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam
agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan
istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu.
Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan,
maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10
Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan
sepuluh kehormatan.
1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat
pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah
menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke
langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.
3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh
a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga
termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita
merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada
Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh
Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh
a.s.
4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat
sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan
dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan
Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi
Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejamanNamrud.
5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi
Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada
99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah
membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar
sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu.
Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah.
Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada
10 Muharam.
6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke
langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan
satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.
7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10
Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat
yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan
menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus
semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di
Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu
penghormatan kepada Nabi Musa a.s
8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan
Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10
Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.
9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut
ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman
secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan
pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan
mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.
10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman
a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda. Dengan itu, mereka
berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt.
Nabi saw telah bersabda dengan maksudnya: “Saya dahulu telah menyuruh kamu
berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada
sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak
sukar boleh meninggalkannya.”
Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari
Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka
diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.
No comments:
Post a Comment